APRIL 2025

Tarif Barangan Import AS Tidak Beri Impak Besar Pada Ekonomi Sarawak


KUCHING: Pelaksanaan tarif terhadap barangan import Amerika Syarikat (AS) yang berkuat kuasa 9 April 2025 tidak memberi impak besar kepada ekonomi Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa ekonomi negeri ini tidak terlalu bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat.

Menurut beliau, antara komoditi utama yang dieksport dari Sarawak adalah gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit yang kebanyakannya dihantar ke negara-negara seperti Jepun, Korea, China, dan India.

“Impak daripada tarif ini tidak begitu ketara di Sarawak kerana eksport kita ke Amerika Syarikat adalah rendah, manakala LNG kita banyak dieksport ke Jepun dan sedikit ke Korea,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais malam tadi.

Selain itu Abang Johari menambah, kelapa sawit juga merupakan komoditi utama kedua yang banyak dieksport ke China dan India, sementara barangan lain turut dihantar ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Mengulas lanjut mengenai industri semikonduktor, beliau menjelaskan bahawa cip semikonduktor yang dihasilkan di Sarawak banyak dieksport ke negara-negara Eropah.

“Industri yang mungkin terkesan di Malaysia adalah eksport semikonduktor, tetapi untuk Sarawak, kebanyakan cip semikonduktor kita dieksport ke EU, jadi kesannya adalah agak kecil. 

“Jika ada pun, impaknya amat minimum terhadap industri ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam rangka perang perdagangan global.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir Aidel Lariwoo; dan ahli kenamaan lain.